Isteri sarat hamil gigih jual ikan masin demi sambut kelahiran anak sulung – “Suami buat COD tak okay, saya tolong jual online”

LINANGAN air mata dapat menggambarkan perasaan seorang wanita yang bakal melahirkan anak sulung pada awal September ini.

Namun wanita itu tidak putus doa dan berusaha sehabis baik bagi membantu suaminya mencari rezeki untuk membeli barang keperluan bayi dan kos untuk bersalin.

Dia kemudian menulis di laman Twitter mengenai bisnes ikan masin yang diusahakan suaminya tidak memberi keuntungan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini menjualnya secara dalam talian, sehingga ciapan itu diulang kicau lebih 15,000 kali.

Wanita berkenaan, Azeeda Azleen Adnan memberitahu, dia yang mendirikan rumah tangga pada September tahun lalu kini hamil tujuh bulan.

Posting Markonah di laman Twitter.

Dia yang berusia 27 berkata, suaminya meneruskan bisnes keluarga dengan menjual ikan masin di Changkat Jering, Perak dan menumpukan cara pembayaran tunai semasa serahan (COD),

“Dulu suami lebih banyak melakukan COD. Tapi disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), hasil jualan tak banyak jadi saya cadangkan suami untuk jual secara online.

“Makan minum kami cukup Alhamdulillah, tapi macam mana bila anak lahir nanti. Banyak duit nak pakai, tapi jualan tak begitu baik.

“Jadi, saya perlu lakukan sesuatu yang termampu dalam keadaan saya yang sarat mengandung ni, mudah-mudahan dapat bantu dia,” katanya kepada mStar.

Pelbagai jenis ikan masin dijual suami Markonah.

Lebih dikenali sebagai Markonah, dia membantu suaminya dari segi pengambilan pesanan dan promosi dalam talian, manakala suaminya yang berusia 24 tahun membuat pembungkusan stok dan penghantaran ikan masin kepada pelanggan di kawasan sekitar.

Selain pelbagai jenis ikan masin, dia yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu berkata, mereka turut menjual pekasam, ikan bilis, sotong serta udang kering.

Ada yang mesej nak bantu beri duit. Suami cuma harapkan duit berniaga. Kami bukan meminta, tapi hanya mahu mencari rezeki yang halal untuk keluarga kecil kami

MARKONAH

Markonah bagaimanapun tidak menyangka perkongsiannya di laman Twitter menjadi tular sehingga ramai yang tampil menawarkan bantuan kewangan.

“Ada yang mesej nak bantu beri duit. Tapi suami cuma harapkan duit berniaga kerana itulah bisnes turun-temurun yang dilakukan oleh mak dan nenek dia.

“Kami bukan meminta, tapi hanya mahu mencari rezeki yang halal untuk keluarga kecil kami. Sebab itulah saya membuat posting tu,” katanya.

Turut dijual adalah ikan bilis, udang kering dan sotong kering.

Lebih mengejutkan wanita itu apabila jualan ikan masin suaminya menyaksikan peningkatan mendadak selepas perkongsiannya menjadi tular.

“Saya memang terkejut, tapi syukur Alhamdulillah atas rezeki yang dikurniakan kepada kami. Kalau sebelum ini, nak dapat jualan purata sehari RM100 pun belum tentu dapat.

“Tapi selepas viral, jualan sehari pernah mencecah RM5,000. Bila banyak mesej masuk bertalu-talu nak order ikan masin, saya menangis,” katanya.

Suami Markonah (kanan) bersama adik angkat membuat penghantaran.

Jika sebelum ini jualannya terhad di kawasan sekitar Changkat Jering, Taiping dan Kamunting di Perak, namun dia kini mendapat tempahan dari seluruh negara.

“Kami juga menerima order dari Sabah dan Sarawak. Paling saya tak sangka apabila ada pelanggan dari Singapura mahu membeli ikan masin kami.

“Saya terkejut, tak tahu macam mana nak digambarkan betapa gembira dan terharunya kami. Syukur Alhamdulillah, kami anggap semua ini adalah rezeki anak,” katanya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber : mStar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*