
BELUM genap sebulan selepas kembali rujuk, pasangan pempengaruh media sosial, Siti Jamumall dan suaminya, ‘Aiman Tak Kisah’ bercerai buat kali kedua, awal pagi Khamis.
Cerai dilafazkan oleh Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, menerusi satu siaran langsung di platform TikTok yang dibuat Siti Jamumall atau nama sebenarnya, Siti Suriani Wahiddin, 26.
Rakaman tersebut kemudiannya tular dan dikongsikan semula di pelbagai platform media sosial.
“Siti Suriani binti Wahiddin, aku ceraikan kau dengan talak dua. See you in court,” demikian lafaz cerai yang dilontarkan Aiman kepada isterinya.
Terdahulu menerusi rakaman itu, kelihatan berlaku pertengkaran antara pasangan berkenaan sebelum talak dilafazkan.
Ketika mereka bertengkar, kedengaran Aiman menyebut tentang mStar, dipercayai merujuk kepada temu bual bersama wartawan portal ini mengenai kisah penceraian mereka pada 6 Mei lalu.
Selepas diceraikan, Siti Jamumall dilihat ditenangkan oleh dua individu lain yang berada bersamanya.
“Jangan menggigil, jangan menggigil,” kedengaran suara salah seorang individu menenangkan Siti Jamumall dalam video berkenaan.
Lafaz cerai itu dilihat diulang sebanyak tiga kali oleh Aiman sebelum video berkenaan dihentikan secara mengejut.
Untuk rekod, pasangan itu sebelum ini pernah bercerai dan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 6 Mei lalu.
Namun, mereka mengambil keputusan untuk kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan lafaz cerai dibuat.
Siti Jamumall kini sedang hamil lima bulan hasil perkahwinan bersama Aiman.
Difahamkan, mereka mendirikan rumah tangga di Satun, Thailand pada awal Jun 2024.
Ini merupakan perkahwinan kedua buat Siti Jamumall yang sebelum ini pernah berkahwin dengan Mohammad Syafiq pada 2019 dan bercerai pada Disember 2022.
Hasil perkahwinan terdahulu, dia dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Putra Adam Rizki, 6, dan Putra Aiman Zafran, 4.
sumber: mstar
Leave a Reply