“Jika sah lafaz talak dua, tak boleh rujuk lagi” – PU Syed ulas Siti Jamumall dicerai 3 kali ketika ‘live’

MEDIA sosial ketika ini hangat dengan kisah usahawan dan personaliti media sosial, Siti Jamumall yang diceraikan buat kali kedua pada awal pagi Khamis.

Cerai yang dilafazkan terhadap pempengaruh itu oleh suaminya, Khairul Aiman Abdul Kudus yang popular dengan nama ‘Aiman Tak Kisah’ berlaku ketika wanita berkenaan sedang bersiaran langsung di platform TikTok.

Menerusi video yang tular, kedengaran suami Siti Jamumall melafazkan cerai talak dua dan mengulanginya sebanyak tiga kali, sebelum video siaran langsung itu dihentikan secara mengejut.

Pada 6 Mei lalu, mereka ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam bagi mengesahkan lafaz cerai talak satu.

Diminta mengulas mengenai perkara berkenaan, pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed berkata, dalam situasi pasangan itu ketika ini, ia perlu dirujuk kepada mahkamah syariah sebagai pemegang kata putus dan selaku pihak yang berautoriti dalam urusan undang-undang keluarga Islam.

“Difahamkan mereka telah bercerai sebelum ini dan kali ini lafaz dua talak diberikan.

“la telah mencukupkan kepada tiga kali maksimum, maka talak ini disebut Talak Bain Kubro yang mana jika disabitkan sahnya cerai yang dilafazkan itu, mereka tidak boleh lagi rujuk sehinggalah isterinya itu bernikah dengan suami yang lain,” katanya.

Menurutnya, mengikut jumhur ulama (termasuk Syafl’iyah), lafaz talak yang diucapkan secara sarih (jelas) seperti aku ceraikan engkau’ dalam semua keadaan termasuk ketika marah, di mana akal masih waras dan seorang suami sedar apa yang diucapkan, maka lafaz itu sah.

Siti Jamumall dan pasangannya bercerai buat kali kedua.

Mengulas mengenai hukum lafaz cerai yang dilakukan ketika seseorang isteri itu sedang hamil, PU Syed berkata, majoriti ulama berkata ia adalah harus, yakni tidak haram dan tidak juga makruh.

“Tapi suka juga diingatkan, seseorang isteri yang mengandung akan menghadapi keletihan dan tekanan perasaan memikirkan tentang kesempurnaan bayi kandungannya.

“Apabila berlaku penceraian, ia akan menambahkan lagi penderitaan dan kesusahan yang terpaksa ditanggung, sekali gus menjejaskan kesempurnaan bayi dan mengganggu kesihatan si ibu.

“Seorang suami yang baik pastinya akan mengambil kira segala aspek dan melakukan semua ikhtiar sebelum melafazkan cerai terhadap isteri,” hurainya.

Dalam pada itu, beliau menitipkan nasihat agar perkara yang serius seperti cerai dan rujuk tidak sewajarnya dijadikan ‘content’ untuk meraih perhatian netizen.

Beliau turut mengaitkan situasi ini dengan hadis Riwayat Imam Abu Daud.

“Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak). (Riwayat Imam Abu Daud).

“Hadis di atas jelas menunjukkan larangan untuk tidak bermain-main dalam tiga perkara tersebut,” ujarnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Siti Jamumall atau nama sebenarnya, Siti Suriani Wahiddin, 27, dengan pasangannya pernah bercerai dan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 6 Mei lalu.

Namun, mereka mengambil keputusan untuk kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan lafaz cerai dibuat.

Siti Jamumall juga kini sedang hamil lima bulan anak pertama hasil perkahwinannya keduanya dengan Khairul Aiman.

Hasil perkahwinan terdahulu, dia dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Putra Adam Rizki, 6, dan Putra Aiman Zafran, 4.

sumber: mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*