Datuk 5 cucu masih ‘steady’ belajar degree, usia 77 tahun tetap nak jadi peguam… Netizen harap fasilitator tak jerit-jerit di minggu suai kenal

USIA bukan penghalang untuk menimba ilmu.

Begitulah semangat yang terpahat dalam diri seorang lelaki warga emas berusia 77 tahun.

Krishnan Madavanair bersama seorang sahabat mendaftar sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Terengganu, Terengganu, pada Isnin.

warga emas degree 1

Krishan (kanan) dan Ramesh mendaftarkan diri di UniSZA. foto FB rasmi UniSZA

Bercakap kepada mStar, Krishnan berkata, dia sebelum ini pernah menyambung pengajian dalam jurusan sama di sebuah universiti namun terpaksa berhenti di tengah jalan.

“Masa tu saya berusia 40-an mengikuti jurusan undang-undang, tetapi tak dapat meneruskannya sebab tak cukup duit selain komitmen tinggi bersama keluarga.

“Sekarang setelah bersara dan ada banyak masa, saya fikir tiba masanya untuk menyambung semula apa yang saya minat iaitu belajar dalam bidang undang-undang.

“Selepas lebih 30 tahun, saya kembali bergelar pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang,” katanya ketika dihubungi mStar.

warga emas degree 9

Krishnan menyambung pengajian pada usia 77 tahun.

Berasal dari Kuala Lipis, Pahang, Krishnan pernah berkhidmat di Jabatan Kerajaan Negeri Pahang selama 30 tahun dan menjadi pesuruhjaya sumpah kira-kira 13 tahun.

Dia yang menetap di Kuantan sebelum ini juga pernah menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2017.

“Ini merupakan ijazah sarjana muda kedua saya. Selain minat belajar, saya juga menyertai aktiviti sukarelawan bersama badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya mendapat sokongan isteri dan keluarga. Bagi saya, belajar tak kira usia. Kalau umur panjang dan sihat, saya mahu terus bekerja berkaitan undang-undang termasuk menjadi peguam,” katanya yang mempunyai lima anak, lima cucu dan dua cicit.

warga emas degree 2

Krishnan (kanan) ketika memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan di USM pada 2017.

Mengisi masa lapang dengan membaca dan menulis, Krishnan yang berkebolehan menghasilkan cerpen dan skrip dalam bahasa Tamil juga berpengalaman terlibat dalam persembahan kesusasteraan dan kebudayaan.

“Prinsip saya adalah pembelajaran seumur hidup, untuk belajar tiada had umur,” katanya.

Sementara itu, sahabat Krishnan iaitu Ramesh Rajagopal yang dikenalinya sejak sedekad lalu pula berkata, dia merupakan jurulatih berkaitan dengan undang-undang pekerja secara sambilan.

Berusia 56 tahun, anak kelahiran Segamat, Johor itu menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang kerana impiannya untuk menjadi peguam yang bertauliah.

warga emas degree 6

Ramesh ketika ditemuramah selepas mendaftar di UniSZA.

“Saya mahu membantu membela untuk keadilan bagi mereka yang kurang berkemampuan dengan mengendalikan kes secara pro bono, iaitu menyediakan khidmat secara percuma dan sukarela,” katanya yang dibesarkan di Kerteh, Terengganu dan kini menetap di Kuantan.

Bapa kepada tiga anak ini juga memperoleh pendidikan Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan di Asia e University, kira-kira 10 tahun lalu.

Selain berpengalaman dalam undang-undang pekerja, Ramesh juga pernah berkhidmat dalam sektor perkhidmatan, sumber manusia dan perhotelan selama lebih 18 tahun termasuk dua tahun di Kuwait.

Menurutnya, selain mengejar cita-cita untuk bergelar peguam, dia juga mahu meneruskan apa yang disukainya selama ini iaitu membantu orang.

“Saya buat sebab saya suka membantu orang. Saya fikir apa yang saya dapat manfaat semasa saya hidup di dunia bukan milik saya sepenuhnya, maka saya perlu berkongsi dengan orang lain… seperti berkongsi rezeki,” katanya.

Dalam pada itu rata-rata netizen di ruangan Facebook rasmi UniSZA melahirkan rasa kagum dengan kesungguhan Krishnan dan sahabatnya, Ramesh.

warga emas degree 3

Krishnan (berdiri) melihat Ramesh sedang mendaftar program pengajian. foto FB rasmi UniSZA

Bagi mereka minat kedua-dua warga emas itu menimba ilmu pengetahuan seharusnya dijadikan contoh kepada generasi muda.

“Contoh kecintaan kepada ilmu sekalipun di usia emas. Semoga jadi motivasi kepada pelajar-pelajar remaja.

“Ini mesti jiwa kental… harap kedua-dua aktifkan Facebook. Kami ingin mengikuti sepanjang perjalanan menjadi student warga emas.. Mungkin menjadi motivasi kepada kami.

“Kalau ada minggu suai kenal, mohon fasilitator jangan jerit-jerit kat mereka,” kata beberapa netizen.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber : mstar.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*