Anak pergi kubur minta arwah ibu hadiah pelukan, akhirnya terpaksa peluk diri sendiri – “Susah hidup tak ada mama”

“NANTI mama dah tak ada baru kau tahu susah hidup tak ada mama.”

Kata-kata ini sentiasa terngiang-ngiang di kepala Nur Fatin Wahidah Mohd Fadli sejak ibunya meninggal dunia pada 17 September 2022, ketika usia 48 tahun.

Kerinduan terhadap ibunya, Nazrah Mohd Baki yang dipanggil mama itu dizahirkan ketika menziarahi kubur arwah sempena hari lahirnya pada 2 April lalu.

Ketika dihubungi mStar, wanita berusia 21 tahun ini menceritakan semula kisah di sebalik rakaman video yang dimuat naik dan menjadi tular itu.

“Saya terkesan dengan ayat mama sewaktu dia masih ada dulu. Dia selalu tolong saya selesaikan semua masalah termasuklah adik-beradik saya yang lain.

“Jadi saya mula sedar selepas ketiadaannya, betul-betul rasa kehilangan tu. Semua masalah sekarang tanggungjawab saya sendiri. Tak ada bantuan daripada mama lagi, memang saya akui susah hidup tak ada dia.

“Masa mama ada dulu saya anggap remeh saja. Menyesal juga tak pernah ambil serius apa yang mama cakap dulu sedangkan saya terlalu banyak bergantung hidup dengan dia… kini saya rasa buntu,” katanya.

Bercerita lanjut detik sebelum pemergian ibunya, ujar Wahidah yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah syarikat swasta, dia pada mulanya tidak mengetahui mengenai penyakit kanser yang dihidapi wanita itu.

Lebih menyayat hati apabila ibunya menghembuskan nafas terakhir tanpa sempat mendapatkan rawatan sepatutnya.

“Mama meninggal dunia sebab menghidap kanser hati. Mama rahsiakan penyakitnya daripada kami sekeluarga. Dia beritahu yang hatinya bernanah sahaja.

“Sebelum ni dia perlu menjalani proses tebuk hati bagi membuang segala nanah yang ada. Sebanyak tiga beg nanah dikeluarkan dari hati mama masa dekat Hospital Shah Alam.

“Seminggu sebelum mama ‘pergi’, doktor beritahu bahawa hempedu mama sudah lagi tidak berfungsi dan perlu dibuang. Tapi, belum sempat buang, ajal menjemput mama dulu,” ujarnya yang menetap di Banting, Selangor.

Sebagaimana dikongsikan di TikTok, Wahidah menjelaskan dia pada ketika itu tidak dapat lagi menahan air mata.

Apatah lagi apabila mengimbau kembali kenangan bersama ibu dan hakikat dia kini tidak lagi boleh bersama menyambut hari kelahiran dengan wanita itu seperti sebelum ini.

Wahidah menceritakan mengenai penyakit kanser hati ibunya.

Malah, ujarnya yang memiliki empat adik beradik, ibunya merupakan seorang pendengar setia sekiranya dia mahu bercerita segala masalah dialami.

“Hari saya menangis di tepi kubur mama adalah hari kelahiran saya yang ke-21 tahun. Saya ke kubur dengan niat untuk menziarahnya serta menyambut ulang tahun kelahiran saya di samping mama. Tahun pertama saya menyambut ulang tahun tanpa mama.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)


“Dalam video tu saya peluk diri sendiri sebab nak sangat mama peluk masa tu. Saya rindu mama. Saya sampai doa biar dapat rasa pelukan mama tu sebagai hadiah ulang tahun sendiri. Tapi, mustahil kan… jadi saya peluk je la diri sendiri. Mama kan dah ‘jauh’.

“Puasa tahun ni pun dah tak boleh bersama dengan mama lagi. Banyak kenangan manis kami semasa menyambut Aidilfitri yang terakhir tahun lepas. Selalu pagi raya mama siapkan anak-anaknya supaya kelihatan kemas sepanjang hari raya dan kami bersalaman sesama ahli keluarga. Ini adalah kenangan saya tak akan lupa sampai bila-bila,” ujar Wahidah.

Ahli keluarga Wahidah.

Dalam kesediahan Wahidah, dia menitipkan pesanan kepada semua orang di luar sana agar lebih menghargai masa bersama ibu bapa sendiri sebelum terlambat.

“Selagi ada masa bersama luangkanlah. Kalau ada peluang untuk peluk, anda semua peluklah. Kalau ada masa, berjumpalah.

“Jangan tangguh-tangguh dan merungut. Kalau mereka dah tak ada nanti, menyesal pun dah tak guna,” katanya lagi.

Komen netizen:

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber : mstar.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*