Kurang yakin bertutur BI, Siti Nurhaliza akui kekurangan diri

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui dirinya kurang berkeyakinan untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dan perkara tersebut menjadi salah satu kelemahan dalam dirinya.

Bagaimanapun, Siti, 44, berkata, kekurangan itu tidak menjadi sebab untuk seseorang itu patah semangat dan tidak berjaya dalam kehidupan.

Menerusi video yang dikongsikan dalam TikTok @sitizones.official, penyanyi nombor satu negara itu memberitahu untuk bertutur dengan fasih dalam bahasa Inggeris memerlukan keberanian dan latihan bagi menguasai bahasa antarabangsa itu.

“Saya mungkin kurang yakin (bertutur dalam bahasa Inggeris). Itu sahaja kekurangan saya. Tapi sebenarnya saya mampu untuk bercakap bila berada di luar negara atau bukan dalam kalangan orang-orang yang suka menghakimi.

“Sememangnya saya akui untuk bercakap dalam bahasa Inggeris dengan lancar, kita memerlukan keberanian dan selalu berlatih untuk bertutur dalam bahasa Inggeris,” ujarnya.

Tambah pelantun Percayalah itu lagi, faktor persekitaran juga sedikit banyak menjadi punca dirinya kurang berkeyakinan untuk bercakap dalam bahasa Inggeris kerana dibesarkan dalam suasana keluarga yang bertutur dalam bahasa Melayu sepenuhnya.

“Mungkin sebab saya dibesarkan dalam keluarga yang tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan di rumah dan lebih senang bercakap dalam bahasa Melayu.

“Itu adalah antara cabar4n yang perlu saya hadapai. Tetapi saya tidak melihat kekurangan tersebut untuk seseorang itu patah semangat untuk berjaya,” jelasnya.

https://www.tiktok.com/@sitizones.official/video/7200794395287768347?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7074799253936391682

Menjadikan negara Jepun sebagai contoh, Siti mengagumi budaya masyarakat negara Matahari Terbit itu kerana mengangkat bahasa ibunda mereka, namun masih boleh menjadi sebuah negara yang maju ke hadapan.

“Tengok macam mana orang Jepun memperkayakan bahasa mereka dan jauh lebih ke hadapan berbanding kita.

“Bahkan orang Barat sendiri banyak belajar dengan orang Jepun tentang teknologi walaupun masih berpegang dengan bahasa ibunda mereka,” tuturnya.

Dalam temu bual itu juga, Siti menasihati orang ramai supaya tidak terlalu berasa bangga diri jika mahir bertutur dalam bahasa Inggeris sehingga memperkecilkan orang lain yang tidak dapat menguasai bahasa tersebut.

“Jangan anggap kalau kita tidak boleh bercakap dalam bahasa Inggeris, kita tidak boleh pergi ke luar negara dan menjadi terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Janganlah terlalu berbangga kalau dapat berbahasa Inggeris dan memperkecilkan orang lain yang tidak mahir bertutur dalam bahasa tersebut.

“Tidak salah kalau kita tersilap. Kalau ada yang menegur, kita belajar. Kalau ada yang menegur, saya akan ucapkan terima kasih sebab dapat belajar sesuatu benda baharu.

“Jangan kecam orang sesuka hati sebab belum tentu orang yang mengecam itu sempurna dan bijak pandai,” katanya.

Menjengah dalam ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok bersetuju dengan pendapat Siti, malah turut berkongsi pengalaman masing-masing apabila dikritik ketika berbahasa Inggeris di negara sendiri.

Komen netizen:

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber : kosmo.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*