Hero sulung gemuruh nak ambil SPM, ibu selamba sakat anak siap buat lawak – “Benda bulat-bulat golek di kaki jangan kutip!”

SEBAGAIMANA yang diketahui ramai, peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 sudahpun bermula pada Isnin.

Seramai 403,637 calon menduduki peperiksaan berkenaan yang akan berlangsung sehingga 15 Mac.

Jika ditelusuri media sosial, rata-rata warga maya membuat perkongsian mengenai pengalaman serta kisah masing-masing pada hari pertama peperiksaan berkenaan.

Dalam satu perkongsian yang tular di laman TikTok, seorang wanita sempat merakam momen di mana dia memberi pesanan kepada anak sulungnya sebelum remaja tersebut pergi ke sekolah.

Apa yang menarik perhatian warga maya, wanita berkenaan menyelitkan unsur humor ketika memberi ‘amanat’ untuk menghilangkan rasa gemuruh si anak.

“Pagi tu saya tengok dia ke hulu, ke hilir… dia pun tertanya-tanya kenapa nervous sangat. Itu yang saya rakam dan buat lawak untuk hilangkan rasa gemuruh dia.

“Lepas tu, nampak dia macam ok sikit. Setelah selesai jawab periksa dan sebelum balik, dia sempat update… katanya dia rasa macam boleh menjawab soalan karangan Bahasa Melayu, cuma kertas Sastera dia rasa susah sikit.

“Dia share macam tu pun kita rasa seronok dah. Dia takut kita sebagai ibu bapa tak boleh terima keputusan peperiksaan nanti. Apabila anak kongsi macam tu, kita perlu beri sokongan dan bukan tekanan,” demikian kongsi Siti Norhidayu Mr Sherzada ketika dihubungi mStar.

spm 2

Anak sulung Siti Norhidayu yang mesra dipanggil Along.

Sama seperti ibu bapa yang lain, Siti Norhidayu berkata dia turut merasa gelisah lebih-lebih lagi ini adalah kali pertama di mana anaknya sendiri, Muhammad Irfan Haziq menghadapi peperiksaan besar.

Sudah semestinya anak sulung menggalas harapan besar untuk melakukan yang terbaik demi membanggakan ibu bapa, namun ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, dia tidak mahu meletakkan tekanan kepada anaknya yang dipanggil Along itu.

“Along ni pencapaiannya sedang-sedang sahaja. Kita kena tengok juga anak kita tahap macam mana. Semua ibu bapa mahukan yang terbaik. Saya dan bapanya hantar Along ke tuisyen sebelum ini sebagai persediaan. Selebihnya, doa. Apa jua keputusannya nanti, kita terima.

“Kalau persediaan lain, saya suka beri nasihat. Along ni kuat main handphone. Kalau nasihat depan-depan, memang tak menjadi sebab dia dan adik-adiknya suka buat lawak.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)


“Jadi saya selalu hantar mesej panjang kepadanya. Saya beritahu, kamu lelaki, kita bukan orang senang, esok lusa kena kerja tanggung anak bini. Biarlah nanti dapat sambung belajar,” ujar wanita berusia 38 tahun ini.

Ditanya mengenai cita-cita anak sulungnya itu, Siti Norhidayu berkata remaja tersebut cenderung dalam bidang sukan dan pernah menyuarakan hasrat untuk bergelar seorang pemain bola sepak profesional.

“Dia seorang yang aktif bersukan. Senang cerita, dia kaki bola. Kalau ada rezeki untuk terus aktif dalam bidang itu, kami sebagai ibu bapa sokong. Sebelum ini pun kalau dia main bola sepak, kami pergi sokong.

“Tapi abahnya ada buat cadangan, suruh dia ambil jurusan pengurusan pejabat. Kalau saya pula, saya lebih suka dia ikut pasaran sekarang. Namun apa jua rezekinya nanti, kami sokong saja,” ujarnya yang menetap di Semenyih, Selangor.

spm 3

Siti Norhidayu bersama suami dan tiga heronya.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Siti Norhidayu berkata dia sekadar merakam momen tersebut untuk diabadikan sebagai kenangan.

Dalam masa yang sama, wanita ini turut berkongsi nasihat buat para ibu bapa kepada calon SPM.

“Iya tak dinafikan ada ibu bapa yang terlalu mengharap anak mereka dapat keputusan cemerlang.

“Bagi saya, kita kena mengharap setanding dengan apa yang ada. Usahlah letakkan tekanan di bahu anak. Bimbang nanti apabila dapat keputusan yang tak seperti diharapkan, mula tumbuh rasa kecewa dan malu.

“Apapun, anak kita sudah cuba lakukan yang terbaik. Ada rezekinya tu nanti,” ujarnya lagi.

Sehingga kini perkongsian Siti Norhidayu meraih lebih 1.6 juta jumlah tontonan.

Komen netizen:

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber : mstar.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*