Bapa kayuh basikal hantar 3 anak ke sekolah jam 5.30 pagi… kemudian jual sayur RM1 di tepi jalan, untung sehari RM15

Berbekalkan pendapatan harian sebanyak RM15, seorang lelaki dari Putatan, Sabah, tetap cekal meneruskan hidup demi menyara isteri serta lima anaknya.

Dikenali sebagai Julamri, 45, dia hanya mencari rezeki dengan berniaga sayur yang berharga RM1 seikat setiap hari dengan menggunakan sebuah basikal pemberian adiknya.

Kisah sayu mengenai peniaga sayur itu dikongsi oleh aktivis kebajikan Sabah, Adrian Edy yang hadir menyantuninya pada Isnin.

“Setiap hari pakcik Julamri pergi hantar tiga anaknya yang masih bersekolah dengan menaiki basikal seawal pukul 5.30 pagi.

“Kemudian dia akan berniaga di tepi sebuah jalan di Putatan bermula jam 8 pagi. Kadang-kadang tak habis. Dia jual sayur RM1 seikat.

“Ketika saya jumpa dengannya, saya beli semua sayur, itu pun baru RM20. Dia kata dia tanam sendiri depan rumahnya. Kangkung, kacang dan timun merupakan antara sayur yang dijual.

“Harganya terlampau murah. Tapi sayur-sayur yang dijual sangat segar, berbeza dengan sayur di kedai. Cuma susah orang nak berhenti beli, dia berniaga di tepi lampu isyarat,” ujar Edy kepada mStar.

Dalam pertemuan itu, Edy turut membuat kejutan apabila memberi sumbangan wang tunai serta sebuah basikal baharu kepada Julamri.

Jelas Edy, dia mencari peniaga itu sejak tahun lepas lagi, namun baru berpeluang untuk berjumpa dengannya pada minggu ini.

“Saya dah tahu lama tentang pakcik Julamri. Dulu ada orang hantar gambarnya di Facebook saya. Dah setahun saya cari. Setiap kali pergi, tak jumpa.

“Baru-baru ini, kawan maklumkan dia terjumpa pakcik ni. Terus saya minta kawan tolong tanya pada pakcik Julamri. Akhirnya saya dapat jumpa juga dengannya.

“Dia terkejut saya bayar lebih masa borong semua sayurnya. Dia tanya macam mana nak balas? Saya kata tak apa. Kemudian saya tanya juga tentang basikal. Dia kata kalau basikal rosak, dia tak keluar berniaga.

edy2

Edy memborong kesemua sayur Julamri dan turut memberi bantuan wang tunai kepadanya.

“Jadi saya terus keluarkan sebuah basikal dan berikan kepadanya. Basikal tu memang saya dah beli awal-awal. Dia macam terkejut. Pakcik Julamri kata dia macam bermimpi dapat basikal. Terus dia menangis kat situ.

“Saya memang niat nak beli motosikal. Tapi dia tak ada lesen dan tak tahu menunggang motosikal. Sebelum ini dia guna basikal yang diberikan adiknya, dia nak beli sendiri tapi belum mampu,” cerita Edy lagi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)


Menurut aktivis itu, biarpun Julamri hidup dalam serba kekurangan, dia tetap akan bersedekah sayur-sayuran buat jiran-jirannya setiap kali ia tidak habis terjual.

edy3

Peniaga itu menitiskan air mata ketika diberi sebuah basikal pada Isnin.

Dalam pada itu, video pertemuan Edy dan Julamri yang dikongsi menerusi media sosial turut meraih perhatian ramai sejak Isnin.

Rata-rata netizen menzahirkan rasa sayu serta sukar percaya masih ada peniaga yang menjual sayur pada harga RM1 yang dianggap tidak masuk akal.

Pada masa sama, netizen turut memuji keprihatinan Edy dan berharap dia terus membantu golongan memerlukan di negeri itu.

Komen netizen:

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber : mstar.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*