Tinggalkan bisnes air balang, kini suami isteri jadi pemborong hasil laut… Tak menyesal jual motor buat modal niaga

KEPUTUSAN melepaskan motosikal kesayangan demi mendapatkan modal perniagaan tidak pernah dikesali malah bersyukur dengan ketentuan Ilahi.

Bermula dengan langkah menjual air balang di bazar, kini pasangan suami isteri ini mengorak langkah sebagai pembekal makanan laut.

Tidak hanya menumpukan kepada bekalan untuk restoran, Nurul Fariza Che Nu dan suami, Mohd Hasrul Abdul Hamid turut menjadikan isi rumah dan orang perseorangan sebagai sasaran perniagaan.

Nurul kini meneruskan bisnes membekalkan makanan laut.

Ujar Nurul, 41, hasil laut seperti sotong, udang dan ketam, termasuk pelbagai jenis ikan iaitu kembung, tenggiri, selayang dan pari menjadi pilihan pembeli.

“Bekalan diperoleh dari jeti di Kuala Kedah dan Kuala Perlis. Saya dan suami akan ke jeti seawal 1 pagi dan seterusnya menyenaraikan semua bekalan berserta harga dan kombo di media sosial dan grup WhatsApp.

“Kemudian tempahan dibuka dan penghantaran akan dibuat menerusi runner. Bayaran dibuat sama ada secara transfer atau COD (bayaran tunai semasa serahan),” katanya kepada mStar.

Kisah Nurul dan suaminya pernah disiarkan di mStar pada April 2023 kerana menjual motosikal bagi mendapatkan modal untuk mengusahakan bisnes air balang di bazar Ramadan.

Suami Nurul bersama motosikal kesayangan yang telah dijual.

Keputusan berniaga air balang itu sebagai alternatif selepas bisnes membekalkan makanan laut ke restoran yang diusahakan mereka sebelum itu mengalami masalah dan tidak menguntungkan.

Kini, bermodalkan RM10,000 menerusi kemudahan pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, Nurul berkata, dia dan suami dapat mengusahakan bisnes secara kecil-kecilan di sebuah kedai di Taman Pulasan di Jitra, Kedah.

“Kami baru je beroperasi di kedai sejak Julai lalu. Jadi mudah untuk menempatkan bekalan yang diambil dari jeti untuk pelanggan datang ke kedai atau penghantaran.

“Menyedari makanan laut sebagai keperluan ramai, kami menjualnya secara kombo termasuk pengenalan harga Rahmah serendah RM15,” ujarnya sambil menambah lokasi penghantaran di sekitar Jitra dan Alor Setar utara.

Pelbagai jenis makanan laut untuk tempahan.

Berasal dari Alor Setar, Nurul bersyukur apabila sumber pendapatan mereka kini jauh lebih baik berbanding sewaktu berniaga air balang.

“Dulu masa jual air balang, paling tinggi dapat RM300 sehari. Sekarang bekalkan makanan laut catat pendapatan kasar purata RM500 sehari dan boleh cecah RM1,200 sehari,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada 2019.

Buat masa ini, bekalan makanan laut disimpan dalam kotak berais.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu lagi, dia dan suami kini sedang mengumpul modal untuk membeli peralatan bagi mengembangkan bisnes dan memperkukuhkan operasi.

“Kami bercadang nak beli chiller (peti sejuk) dan freezer (peti sejuk beku) untuk simpan semua bekalan makanan laut. Buat masa ini kami hanya guna kotak-kotak yang diisi dengan ais.

“Jika ada, bekalan boleh disimpan lebih lama dalam kuantiti lebih besar,” ujarnya yang sedang berusaha untuk mendapatkan geran daripada Pusat Pembangunan Usahawan Keda (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah).

Nurul (kanan) dan suami di hadapan kedai yang baru beroperasi.

Sehubungan itu, Nurul tidak melihat adanya keperluan mereka untuk menggantikan semula motosikal yang pernah terjual sebelum ini kepada model baharu dalam waktu terdekat.

“Lambat lagi nak ganti motor yang kami jual tu. Insya-Allah jika ada rezeki bertambah, kami mahu selesaikan dahulu komitmen-komitmen lain yang lebih penting untuk mengembangkan bisnes.

“Selain chiller dan freezer, kami juga mahu membeli rak gondola untuk kegunaan di kedai. Jika ada rezeki lebih, beli untuk mesin perah santan dan mesin parut kelapa.

“Apabila semua okay, dapat balik modal dan bisnes stabil… insya-Allah barulah nak fikir beli motor baharu. Buat masa sekarang biarlah runner yang hantar tempahan guna motor dia,” katanya lagi.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber : mStar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*