TIMBUNAN beg beras dalam jumlah yang besar, dipercayai dibuang di sebuah kawasan pembuangan sampah berdekatan Kuala Krau, Pahang, menjadi tular sekali gus menimbulkan persoalan ramai.
Menerusi klip video dan gambar-gambar yang tersebar di media sosial sejak Khamis, kejadian dikatakan berlaku di Jalan Kampung Gunung Senyum-Rumpun Makmur, Kuala Krau.
Bukan hanya beg beras, difahamkan pelbagai lagi stok makanan kering dalam kuantiti yang banyak turut dilonggokkan di lokasi yang sama.
Tepung gandum, mihun dan pelbagai lagi stok barang makanan turut dibuang.
“Kenapa buang beras ni, kenapa tak bagi kepada orang? Kalau ada bubuk sekali pun, masih boleh bersihkan.
“Apakah ini stok banjir yang terperap tak digunakan? Info mengatakan sardin, mi, teh uncang, tepung gandum dan masih ada barangan yang belum expired.
“Persoalannya pihak mana yang buang dan kenapa?” demikian satu perkongsian yang dibuat seorang individu di sebuah laman grup Facebook.
Dalam kemas kini hantarannya, individu berkenaan memaklumkan bahawa ada pihak yang membakar stok barangan makanan berkenaan selepas ia tular.
Individu tersebut turut memuat naik beberapa keping gambar yang memaparkan timbunan stok makanan yang dibuang dan dibakar di kawasan berkenaan.
Dalam masa yang sama, dia menggesa agar pihak yang berkaitan melakukan siasatan terhadap kejadian tersebut.
Cubaan hapus barang bukti sorok barangan terkawal.
NETIZEN
Sementara itu di ruangan komen, warga maya memberikan pelbagai teori berhubung kejadian berkenaan.
Ada yang mengaitkan stok berkenaan disorok oleh pihak tertentu sehingga melepasi tarikh luput dan akhirnya dibuang.
“Cubaan hapus barang bukti sorok barangan terkawal. Kalau boleh cari resit-resit kedai atau alamat boleh bantu Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) siasat,” komen seorang netizen.
Namun ada berpendapat bahawa stok berkenaan adalah barang bantuan ketika bencana banjir sebelum ini yang sudah rosak.
Sebahagian stok barangan makanan yang dibuang didakwa masih belum melepasi tarikh luput.
“Barang bantuan banjir gamaknya.
“Stok bantuan banjir ke ni? Tak habis agihkan?
“Kalau iya pun dah expired, itu tandanya pengurusan tak cakna. Boleh je bertindak awal daripada membazir sedemikian rupa,” komen netizen lain pula.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkaitan berhubung insiden sedemikian.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir
Sumber : Mstar
Leave a Reply