
HASRAT seorang remaja yang mahu menghantar makanan kepada neneknya tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta model Honda Jazz, dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Matahari Height, Persiaran Senawang 1, Negeri Sembilan, pada 8.30 malam Khamis.
Menurut Rosaliah Diego yang merupakan ibu saudara kepada Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, anak saudaranya itu ada menghantar mesej menerusi WhatsApp kepada neneknya, Rahimah Julieto, 50, sebelum tragedi tersebut, memberitahu dia dalam perjalanan ke Sikamat dan membawa makanan bersamanya.
“Neneknya menunggu sehingga pukul 9 malam tetapi cucunya masih tidak sampai.
“Dia kemudian mendapat berita tragis itu dan benar-benar terkejut,” cerita wanita berusia 26 tahun itu ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Rembau.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam Khamis, Muhammad Aidil Ramdan dan pemboncengnya, Muhammad Aswari Lotpi, 16, maut di tempat kejadian selepas dirempuh Honda Jazz yang dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun.
Adik kepada Muhammad Aidil iaitu Muhammad Asraf Adha Abdullah yang menunggang motosikal lain dan turut dirempuh kereta tersebut, kini bertarung nyawa di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan.
Tangkap layar video ketika kereta dipandu laju sebelum langgar lampu isyarat.
Tambah Rosaliah, Muhammad Asraf Adha telah menjalani pembedahan dan masih berada di unit rawatan rapi.
Ujarnya, dua beradik berkenaan sememangnya tidak pernah berenggang dan banyak menghabiskan masa bersama.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, memaklumkan bahawa kemalangan yang berlaku sekitar pukul 8.30 malam itu melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah kereta dan dua motosikal.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 18 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 17 tahun, dari arah Senawang menuju ke Paroi.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta berkenaan dipercayai gagal mematuhi lampu isyarat merah lalu merempuh dua buah motosikal dari arah sebelah kiri,” katanya.
Video memaparkan insiden menyayat hati itu turut tular di media sosial. -The Star
Leave a Reply