“Bos saya suruh order” – Peniaga terkejut buka WhatsApp, pelanggan beli skirt banyak helai rupanya Dr Siti Hasmah

Menerima reviu positif daripada pelanggan pastinya dinantikan setiap peniaga.

Pujian atau ulasan produk yang positif yang diterima boleh menggembirakan penjual malah mampu membuatkan mereka lebih bersemangat dalam berniaga.

Situasi inilah dialami Hany Masniera Mazalan, 28, selepas menerima reviu positif untuk produk yang dijual dan paling penting pelanggan yang memberikan pujian itu adalah individu yang tak disangka-sangka.

Ketika dihubungi mStar, Hany yang merupakan peniaga pakaian wanita dalam talian (online) berkata dia terkejut selepas seorang pelanggannya tiba-tiba menghantar foto Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali melalui aplikasi WhatsApp.

Menerusi gambar tersebut, kelihatan isteri kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu tersenyum sambil menggayakan skirt ‘pleated’ dijualnya, yang mana pesanan dibuat pada 6 September lalu.

“Mula-mula terima order saya dah terkejut sebab dapat tempahan banyak sampai 10 helai skirt sekali gus.

“Tapi masa tu belum tahu lagi order saya dapat tu daripada Tun. Lagipun tak ada request apa-apa jadi memang tak tahu pun itu adalah order daripada VVIP.

“Selepas dua tiga hari pos pesanan, PA (personal assistant) Tun hantar gambar tu dekat saya dan beritahu Tun suruh bagi reviu dan feedback. Dia beritahu bos dia (Tun) yang minta order skirt tu dekat TikTok,” ujarnya yang mengakui teruja menerima foto tersebut.

Menurut Hany, dia turut dimaklumkan bahawa gambar tersebut dihantar kepadanya atas permintaan Dr Siti Hasmah sendiri kerana beliau berpuas hati dengan skirt yang diterima.

Tangkap layar perbualan antara PA Dr Siti Hasmah bersama Hany.

Malah, isteri bekas perdana menteri itu turut berterima kasih kepadanya kerana memberikan sehelai baju sebagai ‘free gift’.

“Selalunya memang saya akan bagi free gift untuk order yang banyak. Bila saya bagi kepada Tun, beliau siap share sekali gambar OOTD (outfit of the day) pakai baju percuma sekali dengan skirt tu.

“Menurut PA Tun, sebenarnya mereka dah cari skirt tu dekat kiosk tapi warna tak banyak jadi dia cuba cari secara online pula.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)


“Apa pun memang saya terkedu macam tak percaya bila tengok gambar tu. Ini kali pertama dapat order daripada insan yang disegani. Serius tak sangka beliau sangat humble. Walaupun VVIP tetap support lokal dan bisnes kecil macam saya,” katanya sambil menambah skirt itu dijual pada harga RM30 sehelai.

Jelas Hany yang sudah menguruskan perniagaan ini sejak 2014, dia memiliki sebuah butik, The Sweethoney Boutique yang terletak di Pengkalan Kubor, Kelantan.

Hany yang kini sedang hamil lima bulan menyifatkan bahawa tempahan yang diterima ini merupakan rezeki bayi dalam kandungan.

Hany mengusahakan butik yang terletak di Pengkalan Kubor, Kelantan.

“Untuk jualan online, saya dah lama berniaga di Instagram dan Shopee tapi dekat TikTok baru saja dua bulan.

“Buat masa sekarang saya dan tiga orang pekerja uruskan semua jualan sebab saya tengah mengandung. Alhamdulillah saya anggap ni salah satu rezeki baby,” ujarnya lagi.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber : mstar.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*