Pelanggan bawa duit siling dalam plastik, sorok-sorok nak kira… Peniaga nasi bajet RM3.50 tersentuh hati, terus bagi percuma

PERLU sentiasa ingat bahawa dalam rezeki kita ada juga bahagian untuk orang lain.

Demikian pedoman mengenai kepentingan bermurah hati dalam hubungan sesama insan.

Nama Nurul Hashima Abu Aris atau Shima sudah tidak asing lagi untuk penduduk Seksyen 6 di Kota Damansara, Petaling Jaya kerana kemuliaan hatinya dalam bersedekah ketika berniaga nasi bungkus.

Sebelum ini, ketika pandemik c0vldl9 mencengkam negara, Shima muncul antara wira tidak didendang apabila dia menawarkan makanan percuma kepada sesiapa sahaja yang mengangkat bendera putih dek kesempitan kewangan.

Tahun berganti tahun, kebaikan Shima ternyata tidak luntur sedikit pun apabila dia sekali lagi tampil menawarkan bantuan makanan percuma kepada masyarakat setempat.

“Tak cukup duit nak makan? Cakap. Sis (kak Shima) boleh bagi nasi percuma.

“Jangan kais cari duit dalam poket, lepas tu letak balik nasi sebab tak cukup duit,” pelawa Shima menerusi perkongsian di media sosial kepada mereka yang terdesak sehingga terpaksa mengikat perut.

Shima mengakui dia mudah tersentuh hati jika melihat pelanggan yang hidupnya seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Saya tak boleh la dengan situasi macam tu. Saya mudah tersentuh hati.

Anak lelaki Shima juga turut hadir membantu di gerai.

“Setakat bagi dua atau empat bungkus nasi bajet tu tak ruginya perniagaan saya,” kata Shima tidak lokek dalam berkongsi rezeki.

Ketika dihubungi mStar, Shima berkata dia senang hati untuk berbakti kepada masyarakat kerana pernah merasai kesusahan sebelum ini.

“Saya pernah hidup dalam kesusahan dan kesempitan yang memaksa untuk berhutang makanan dekat gerai tepi jalan.

“Apabila dah merasa senang sikit, saya berikan semula apa yang saya dah peroleh kepada masyarakat kerana dalam rezeki saya ada rezeki mereka juga,” ujar Shima mengenang masa lalunya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)


Selain itu Shima sempat menceritakan bagaimana dia menjadi saksi banyak kisah meruntun jiwa daripada pelanggan yang berkunjung ke gerainya.

“Dengan macam-macam kisah yang saya dengar daripada pelanggan yang datang ke gerai, saya tahu ramai lagi yang hidup susah dan tak mampu nak beli makanan ruji seperti nasi.

“Nasi kami dijual pada harga serendah RM3.50 sebungkus. Tapi ada juga pelanggan yang keluarkan plastik berisi duit syiling sambil kira sorok-sorok. Mungkin malu sebab tak ada duit kertas nak bayar,” kata Shima.

Menjengah ke ruangan ciapan balas, rata-rata warga maya menzahirkan rasa kagum terhadap kemurahan hati Shima.

Set nasi putih ayam goreng kunyit dan sambal lada.

“Awak sangat baik hati dan tulisan tangan awak dekat gerai itu pun sangat kemas. Saya akan cuba taja perniagaan awak supaya awak boleh bantu lebih ramai orang.

“Semoga terus diluaskan lagi rezeki yang halal dan berkat kak Shima.

“Sungguh mulia hati kak Shima, saya mendoakan kebarakahan dalam kehidupan akak,” ujar sebahagian warga maya.

Antara menu yang disediakan di gerai Shima adalah nasi goreng berlada dan nasi ayam masak merah dengan kesemuanya berharga RM3.50.

Gerai di hadapan Surau Al-Falah, Kota Damansara ini dibuka setiap hari kecuali pada Sabtu, Ahad dan cuti umum bermula pukul 5 petang.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir

Sumber : mstar.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*