AKSI tiga orang kanak-kanak yang begitu asyik menconteng sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire berwarna putih dengan pen marker, menggamit perhatian warga maya.
Pelbagai reaksi yang muncul, di mana ada antara netizen yang meluahkan rasa terkejut namun majoriti daripada mereka meluahkan rasa kagum dengan bakat seni kanak-kanak berkenaan.
Sebenarnya tiga kanak-kanak berkenaan adalah anak dan anak saudara kepada seorang tukang cat atau ‘air brush painter’ yang tidak asing lagi dari Terengganu iaitu Mohd Rozamil Mohd Yatim atau lebih dikenali sebagai Zameer Pentbrush.
Berkongsi kisah dengan mStar, Mohd Rozamil berkata, kenderaan tersebut adalah milik salah seorang pelanggannya yang mahu mengecat kereta dengan tema anime atau komik.
“Sejak 2005, saya berkecimpung sebagai ‘air brush painter’ dan selalu menerima tempahan pelanggan untuk mengecat topi keledar, motor dan baju. Mungkin seiring dengan peredaran masa, orang sekarang mahukan kelainan.
“Saya dapat tempahan daripada pelanggan yang nak cat kereta dengan tema tertentu pada bulan lepas. Sebenarnya, saya dah lama teringin nak buat dekat kereta.
“Ibarat pucuk dicita, ulam mendatang… bila ada customer berani serah kereta dia untuk dapatkan khidmat saya, saya jadi teruja. Pelanggan tersebut dari Selangor dan hantar kereta Nissan Fairlady miliknya untuk dicat dengan tema ‘borderline’ bulan lalu.
“Itulah pelanggan pertama yang hantar cat kereta dengan saya. Selepas tengok hasilnya, dia nak hantar kereta kedua pula katanya iaitu sebuah Ford Mustang,” ujar lelaki berusia 38 tahun ini.
Mohd Rozamil (kiri) yang bergelar ‘air brush painter’ sejak 2005 turut menurunkan kemahirannya kepada anak-anak.
Siapa sangka, selepas memuat naik hasil seninya di laman TikTok, Mohd Rozamil menerima tempahan demi tempahan daripada pelanggan yang mahu mendapatkan khidmatnya.
“Kereta Vellfire tu adalah customer yang kedua, dan customer ketiga pula hantar kereta Audi.
“Ada yang komen, kereta mewah nampak cantiklah kalau buat macam tu… dan tak sesuai kereta biasa. Di sini saya nak cuba perbetulkan sikit. Mindset seperti itu tak benar… sebenarnya, kereta apa pun, kalau kena dengan tekniknya, memang menjadi dan cantik.
“Dan kedua, mindset orang kita, mereka lebih sanjung kepada kreativiti orang asing sedangkan orang kita sama tara bakatnya. Tapi bila orang kita buat, mereka lebih suka kecam… tapi sanjung orang luar.
Antara kenderaan pelanggan yang mendapat sentuhan Mohd Rozamil.
“Saya bersyukur sedikit sebanyak video yang viral ini boleh buka mata orang ramai mengenai kreativiti seni,” ujar bapa kepada dua cahaya mata berusia 10 dan 12 tahun ini.
Bercerita lebih lanjut, Mohd Rozamil berkata dia gembira kedua-dua anaknya menunjukkan minat untuk berkecimpung dalam bidang yang sama.
“Mereka dah biasa tengok saya buat kerja… jadi minat bermula daripada situ. Sebagai bapa, saya beri dorongan. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebung.
“Daripada mereka asyik belek gajet, ada baiknya jika mereka gunakan masa dengan mengasah bakat serta kreativiti,” ujarnya yang mempunyai bengkel yang terletak di Kampung Raja, Chendering, Terengganu.
View this post on Instagram
Banyak berkongsi hasil kreativitinya di TikTok dan platform media sosial lain, Mohd Rozamil berkata dia menerima terlalu banyak permintaan untuknya menjadi ‘guru’.
“Saya segan sebab tiada kelulusan di peringkat tertinggi. Saya hanya mempunyai kelulusan dalam bidang seni sehingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saja.
“Kemahiran ini berbekalkan minat dan belajar sendiri. Namun begitu, saya tak pernah lokek nak share skil atau bahan apa yang digunakan. Semua saya kongsi dengan mereka yang bertanya.
“Lagi satu, saya tak dapat nak penuhi permintaan itu kerana kekangan masa juga. Siapa yang nak mari belajar, boleh saja datang bengkel.
Mohd Rozamil pernah tular pada 2021 kerana lukisan mural bertemakan suasana kampung.
“Bagi mereka yang minat bidang ini atau bidang lain, tumpu dan fokus. Siapa sangka, daripada minat atau hobi, boleh jadi mata pencarian.
“Harapan saya, semoga apa yang saya usahakan ini sedikit sebanyak dapat membuka mata masyarakat tentang seni,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Mohd Rozamil sebelum ini pernah mendapat liputan mStar selepas hasil karya muralnya yang bertemakan rumah kampung, ‘meletup’ di TikTok apabila meraih 4.9 juta jumlah tontonan, dua tahun lalu.
Komen netizen:
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir
Sumber : mstar.com.my
Leave a Reply