KETIKA heboh berita banglo bernilai jutaan ringgit milik Allahyarham Datuk Sharifah Aini dirobohkan, ramai peminat berkongsi rasa sedih melihat peninggalan biduanita negara itu terkubur begitu sahaja.
Bagaimanapun tidak ramai yang tahu tentang reka binaan serta hiasan dalaman kediaman tersebut serta ruangan kegemaran yang menjadi pilihan peribadi pemilik nama Sharifah Aini Syed Jaafar ini.
Menyingkap keistimewaan di sebalik banglo mewah yang terletak di Petaling Jaya, Selangor ini, Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah yang mempunyai hubungan baik dengan wartawan hiburan tidak lokek membawa mereka berkunjung ke kediamannya.
Jemputan biasanya untuk sesi minum petang, makan malam atau sesi berborak santai antara dia dengan pengamal media yang rapat dengannya.
Itulah Kak Pah, seorang yang sentiasa menghargai sahabat media kerana Allahyarham sentiasa percaya, peranan golongan ini terhadap pencapaian kerjaya seninya sebagai pelakon mahupun penyanyi.
Kebanyakan wartawan yang pernah mengunjungi kediaman Allahyarham memuji keindahan banglo itu kerana sentuhan dekorasi, susun atur perabot dan barangan peribadi di dalamnya, dilakukan sendiri oleh Kak Pah.
“Rumah artis yang paling cantik pernah saya lihat” – Roslen Fadzil
Editor kanan dan penulis lirik Roslen Fadzil atau Slen, menyifatkan banglo milik Sharifah Aini antara kediaman artis yang paling cantik pernah dilihatnya.
Menurut Roslen, setiap ruangan banglo itu dihiasi perabot mewah yang mendapat sentuhan susun atur penyanyi lagu Seri Dewi Malam itu sendiri.
Kata Slen, antara ruang istimewa yang terdapat di kediaman tersebut adalah tempat beribadat atau surau yang luas bagi meraikan anak-anak tahfiz dan yatim piatu dalam setiap acara keagamaan yang dianjurkan.
“Saya boleh katakan rumah arwah adalah rumah artis yang paling cantik pernah saya lihat dan paling bersih. Itu signifikannya, cantik, bersih, kemas dan terjaga.
“Ketika hayatnya, beliau mempunyai ramai anak angkat dalam kalangan anak-anak tahfiz dan yatim piatu. Sharifah Aini ini juga jarang keluar rumah, beliau sangat eksklusif. Aktivitinya semua di rumah dan dalam rumahnya yang besar itu dimanfaatkan sebuah ruang yang dijadikan surau.
“Boleh dikatakan setiap minggu atau setiap kali perayaan seperti Tahun Baharu Islam atau Maulidur Rasul, beliau akan menganjurkan aktiviti keagamaan di surau tersebut dengan membawa anak-anak yatim,” katanya.
Dalam pada itu, Slen turut meluahkan rasa sedih apabila melihat banglo yang pernah mencipta kenangan manis bersama penyanyi tersohor negara terkubur begitu sahaja.
Melihat kediaman arwah dirobohkan, timbul perasaan sayu dan sedih.
ROSLEN FADZIL
EDITOR HIBURAN SURIA FM
Jelas Slen, Sharifah Aini sudah menggalas tanggungjawabnya dengan baik dalam menjaga kediaman tersebut yang diumpamakan sebagai syurga dunia baginya.
“Beliau betul-betul menjadikan kediaman miliknya sebagai satu tempat perlindungan yang baik. Bagi Sharifah Aini, rumah itu adalah syurganya.
“Rumah itu ada banyak cerita dan memori. Di setiap sudut ada kenangan kepada kami sebagai rakan wartawan.
“Sudah tentu apabila melihat kediaman arwah dirobohkan, timbul perasaan sayu dan sedih. Baru-baru ini saya ada juga ke tapak perumahannya, sekarang dah tinggal pagar depan dan belakang sahaja,” luahnya yang kini merupakan editor hiburan di Suria FM.
“Sharifah Aini seorang yang mesra, menghormati dan menghargai sahabat” – Saharudin Musthafa
Dikenali dengan sikap penuh mesra, Saharudin memuji keperibadian Sharifah Aini dalam menjaga hubungan baik bersama rakan-rakan media.
Kongsi Saharudin yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Editor Hiburan di Utusan Malaysia, arwah sering menjadikan kediamannya sebagai tempat untuk berkongsi cerita dengan rakan media.
“Arwah seorang selebriti yang sangat mesra, menghormati dan menghargai sahabat di sekelilingnya. Bagi saya, itulah sikap Sharifah Aini yang sangat luar biasa… Kalau dia memang sayang dan mesra dengan seseorang itu, dia akan membuka pintu seluas-luasnya dan membiarkan kami selesa seperti berada di rumah sendiri.
“Beliau jarang lepak di pusat-pusat membeli-belah, kalau nak berjumpa dengan rakan-rakan, arwah akan menjemput kami ke rumah dan memberi layanan terbaik.
“Beliau juga seorang yang suka bercerita, bertukar pandangan dan kadang-kadang meminta khidmat nasihat kami fasal kerjaya seni. Jadi di rumah sikapnya lebih kasual dan tidak terikat dengan sebarang protokol,” katanya yang kini editor di Astro Awani.
Sikap kekemasan dan teratur yang dimiliki Sharifah Aini turut menjadi bualan rakan-rakan media yang pernah berkunjung ke kediamannya.
Menurut Saharudin, dia begitu tertarik dengan ruang pejabat yang disediakan khusus untuk menempatkan koleksi cakera padat dan bahan bacaan milik penyanyi berkenaan.
“Di bawah aras satu kediamannya ada sebuah bilik yang dijadikan sebagai pejabat. Arwah seorang yang sangat teratur dan kemas. Dia susun koleksi cakera padat miliknya mengikut susunan abjad.
“Hebatnya seorang primadona bernama Sharifah Aini. Dia memang teratur orangnya. Sudahlah rumahnya begitu cantik, wangi dan memang kemas tanpa secalit habuk pun.
“Memang kita akan nampak kehidupan yang sangat teratur untuk seorang seniwati hebat seperti beliau dan beliau memang layak untuk merasai semua itu,” jelasnya.
Terkilan tiada pihak mempertahankan kediaman Sharifah Aini – Saodah Ismail
Dalam keterujaan mengimbau kembali kenangan berkunjung ke kediaman Sharifah Aini, Saodah Ismail yang pada ketika itu menggalas jawatan sebagai wartawan akhbar Berita Harian meluahkan rasa kecewa apabila tiada pihak yang bertanggungjawab dalam mempertahankan banglo milik biduanita negara itu.
Kata Saodah, dia membayangkan banglo mewah tersebut dapat dijadikan pustaka peringatan seperti yang dilakukan kepada Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
“Saya rasa sayang apabila rumah itu dirobohkan kerana ia sepatutnya boleh dijadikan sebagai sebuah galeri memperingati Allahyarham… Bagi saya, kalau boleh ia sepatutnya dijadikan seperti Pustaka Peringatan P. Ramlee. Negara kita ini kaya dengan seni. Kita ada banyak seniman-seniman yang hebat.
“Rumah Sharifah Aini sepatutnya dijadikan pustaka. Sampai sekarang lagu nyanyiannya masih lagi didengari, tetapi generasi sekarang tidak kenal siapa beliau.
“Sepatutnya ada pihak yang bertindak untuk memastikan agar tinggalan seperti kediaman seniman-seniman kita tidak dimusnahkan begitu sahaja,” luahnya.
Saodah mengakui cita rasa yang dimiliki oleh Allahyarham begitu tinggi sehingga menjadikan kediamannya itu hampir sempurna.
Baginya adalah satu kerugian apabila tiada pihak yang mengambil peduli untuk menjadikan aset milik Sharifah Aini sebagai tinggalan kepada generasi akan datang.
“Sedih sebab saya pernah ke rumah itu dan melihat sendiri keindahan yang dicipta sendiri oleh Allahyarham.
“Dari dulu saya pernah terfikir kalaulah rumah milik Sharifah Aini dijadikan pustaka, memang hebat sebab dari rumah itu sahaja orang boleh mengenali siapa beliau.
“Cita rasa Sharifah Aini memang dahsyat. Setiap rekaan dalaman rumah berkenaan mendapat sentuhan daripada beliau sendiri. Dia seorang yang sangat teliti, boleh dikatakan semuanya hampir sempurna,” katanya yang merupakan editor hiburan di kumpulan NSTP sebelum bersara sepenuhnya dari syarikat akhbar itu.
Sebelum ini, berita penjualan banglo milik Sharifah Aini mula diiklankan menerusi Facebook empat tahun selepas pemergian Allahyarham dengan harga RM8 juta.
Banglo tersebut mempunyai sembilan bilik tidur, tujuh bilik air, dewan acara, lima ruang tamu, kolam ikan, bilik pembantu rumah serta dilengkapi dengan perpustakaan dan dua dapur.
Pada Mei lalu, proses merobohkan banglo seluas 20,000 kaki persegi (1,858 persegi) giat dilakukan dan kini kediaman milik biduanita negara itu hanya tinggal timbunan runtuhan selepas pihak yang membeli kediaman itu berhasarat menjadikannya sebagai tapak projek perniagaan.
Untuk rekod, Sharifah Aini menghembuskan nafas terakhir di Pusat Pakar Damansara, Selangor pada usia 61 tahun pada 5 Julai 2014.
Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk fibrosis paru-paru atau ‘paru-paru berparut’.
Beliau meninggalkan seorang anak lelaki iaitu Aliff Omar Ali.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Catatan Terakhir
Sumber : ttk
Leave a Reply